KUCHING :Kerajaan negeri Sarawak bercadang untuk menaik taraf Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Demak Baru di Kuching sebagai Sekolah Sukan Malaysia (SSM).

Menurut Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dr Annuar Rapa'ee, perancangan itu akan dilakukan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Ujarnya, langkah ini bertepatan memandangkan Sarawak telah berjaya melahirkan beberapa nama besar dalam arena sukan antarabangsa. 

“Kerajaan negeri menerusi KBS telah mencadangkan kepada KPM untuk menukar atau menaik taraf SMK Demak Baru menjadi SSM kerana berhampiran dengan fasiliti-fasiliti sukan,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Selasa.

Beliau memberi contoh, pemilihan lokasi sekolah berkenaan adalah sesuai memandangkan sekolah itu berada tidak jauh dari Stadium Negeri, Pusat Akuatik Pandelela Rinong dan Akademi Memanah Tertutup Kuching. Ini justeru memudahkan lagi segala aktiviti latihan para atlet dan pelajar.

Walau demikian, jelas beliau, untuk membina atau menaik taraf sesebuah sekolah menjadi Sekolah Sukan Negeri (SSN) mahupun SSM, perlu kelulusan daripada KPM terlebih dahulu.

"Sehingga kini, pihak KPM masih belum memberi jawapan kepada cadangan tersebut," katanya sebagai menjawab soalan dikemukakan See Chee How (PSB-Batu Lintang) dalam persidangan yang sama.

Jelas beliau, setakat ini terdapat lima SSM di seluruh negara iaitu masing-masingnya satu di Sabah, Terengganu, Pahang, Kuala Lumpur dan Johor.

Sebuah lagi SSM iaitu di Perlis sedang dalam proses pembinaan, tambahnya.

Beliau memberitahu, dengan adanya sekolah berkenaan di Sarawak, lebih ramai lagi bakat sukan tempatan dapat dicungkil serta diberi peluang mewakili negara dalam kejohanan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.